22 March, 2009

Majlis Peguam Diberi Amaran Akhir Berhubung Kalimah Allah

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Majlis Peguam diberi amaran terakhir supaya berhenti membincangkan larangan penggunaan kalimah Allah dengan mengadakan tinjauan pendapat di laman webnya kerana ia boleh membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah yang diambil oleh majlis itu adalah langkah yang tidak bijak kerana isu penggunaan kalimah Allah atau mengenai agama lain bukan sesuatu yang boleh dibincangkan atau dibuat tinjauan.

"Jika mereka meneruskan bermain dengan isu ini orang Islam keseluruhan akan bangun, dan mereka (Majlis Peguam) jangan marah kalau menerima akibat daripada kebangkitan rasa marah di kalangan umat Islam.

"Ini merupakan amaran terakhir kepada mereka (Majlis Peguam) dan saya harap mereka takut dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan. Hal ehwal agama adalah di bawah Raja-raja Melayu dan jika mereka terus mempertikai secara tidak langsung mereka mempertikai kuasa Raja-raja Melayu," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Sekolah Menengah IMTIAZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata semua pihak terutamanya anggota Majlis Peguam yang terdiri daripada golongan professional harus sedar bahawa isu itu sudah dibawa ke mahkamah dan ia tidak perlu dipolemikkan lagi sehingga keputusan dibuat.

"Malah kabinet telah memutuskan supaya meletakkan noktah, berhenti daripada membincangkan isu ini dan di Parlimen juga saya telah meletakkan noktah supaya kalimah Allah ini jangan dijadikan sebagai bahan perbincangan.

"Saya harap selepas ini tiada mana-mana pihak sama ada individu atau organisasi cuba membangkitkan isu ini lagi dan kita terima keputusan mahkamah. Negeri-negeri juga telah mewartakan perkara ini dulu lagi dan saya harap keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan warta larangan penggunaan perkataan Allah yang diperkenalkan oleh Raja-raja di negeri masing-masing dihormati," katanya.

Tindakan Majlis Peguam mengadakan tinjauan pendapat di laman web berhubung isu itu menaikkan kemarahan sebahagian besar umat Islam kerana dilihat seperti menghina Islam.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga diminta mengulas mengenai jemputan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kepada Ketua Uno Bahagian Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman untuk bermubahalah di Masjid Negeri bagi membuktikan dakwaannya (Ahmad Tajuddin) bahawa Adnan mencampuri urusan pemilihan Umno Paya Besar tahun lepas.

Semasa menjawab soalan itu, Ahmad Zahid berkata masjid tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk merungkaikan sebarang polemik.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata Sekolah Imtiaz MAIWP yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 22 ekar di Mukim AU3 Setiawangsa, akan melaksanakan sistem pengajian bersepadu antara sukatan pelajaran kebangsaan dan kurikulum hafazan Al-Quran.

Beliau berkata konsep sekolah berkenaan yang mula diperkenalkan di negeri Terengganu dilihat bakal melahirkan generasi yang berjiwa Al-Quran selain menguasai ilmu-ilmu dalam bidang sains dan teknologi.

--DIPETIK DARI: BERNAMA

No comments:

Post a Comment