27 June, 2009

Hakim rotan pesalah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam memutuskan, seorang pemuda yang mengaku merompak kerana bosan, dikenakan 10 sebatan dalam premis mahkamah dengan disaksikan sendiri ibu bapanya, pada 15 Julai ini.

Dalam keputusan yang jarang dibuat itu, Hakim Zainal Abidin Kamarudin berkata, beliau sendiri akan melaksanakan hukuman sebat itu menggunakan 10 rotan halus yang disediakan mahkamah terhadap pembantu jualan, Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20.

Selain itu, beliau juga mengarahkan Muhammad Syafiq supaya menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur.

Membacakan keputusannya, Zainal Abidin berkata, Mahkamah Sesyen diberi kuasa mengikut Seksyen 293 (1) (c) Kanun Acara Jenayah untuk melaksanakan hukuman sebat terbabit terhadap pesalah muda.

Mengikut seksyen itu, bagi pesalah lelaki, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman sebat dengan rotan halus tidak lebih 10 kali dalam kawasan bangunan mahkamah dan jika dikehendaki di hadapan ibu bapa atau penjaga pesalah itu sebagai ganti hukuman penjara.

"Saya rasa inilah hukuman setimpal yang patut dikenakan ke atas kamu selepas mahkamah mendapati usia kamu yang masih muda namun ia bukan tiket untuk kamu mengulangi kesalahan itu dan kamu harus insaf."

"Mahkamah juga memberi peluang ini untuk kamu membuktikan kepada keluarga bahawa kamu mampu menjadi manusia berguna. Lain kali gunakan otak sebelum membuat sebarang tindakan," kata Zainal Abidin ketika menjatuhkan hukuman itu.

Hakim juga memberitahu bapa Muhammad Syafiq, Abd Wahab Jonit, 64, yang turut hadir di mahkamah, hukuman itu jarang dilaksanakan tetapi beliau menerimanya. "Saya tahu bukan sesuatu yang baik untuk bapa melihat sendiri anaknya disebat, tetapi sebagai hakim saya perlu lakukan," katanya.

Muhammad Syafiq dituduh merompak pelajar, Muhammad Fitri Muhammad Zamzuri, 16, dengan merampas kad pengenalan dan telefon bimbit Nokia 8910i menggunakan sebilah pisau bersama rakannya yang masih bebas di belakang Stadium Bola Sepak, Cheras di sini, jam 1.30 pagi, 16 November 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika ditanya hakim mengapa dia merompak mangsa, tertuduh berkata dia didesak oleh rakannya selain berasa bosan.

Zainal Abidin berkata, tertuduh harus bijak memilih kawan dan tidak bertindak melulu kerana perbuatan itu adalah kesalahan berat yang boleh mendatangkan kematian.

"Jika melihat kepada alasan kamu, mahkamah berhak menjatuhkan hukuman berat kerana kamu sengaja melakukan jenayah itu. Kawan kamu lebih pandai kerana dia hanya tunggu di atas motosikal dan melarikan diri bila melihat kamu ditangkap dan kamu terpaksa menanggung akibatnya."

"Bagaimana mahkamah ingin mengasihani kamu jika alasan ini yang diberikan. Kamu juga menggunakan kekerasan dengan menyepak dan menendang mangsa... adakah kamu berasa kasihan kepadanya ketika melakukan perkara itu?," tanyanya.

Tertuduh menjawab: "Saya tidak menendang mangsa tetapi meminta secara elok. Saya cuma periksa kad pengenalan dia dan meminta dompetnya. Bila dia enggan dan cuba melawan, baru saya tampar dia".

Zainal Abidin: "kamu polis ke? Siapa yang beri kamu kuasa memeriksa kad pengenalan mangsa".

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dan Dony Abdullah.

Sumber : http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment