29 June, 2009

Hakim tak wajar rotan

KUALA LUMPUR: Hakim yang mengadili sesuatu kes di mahkamah dan menjatuhkan hukuman, tidak wajar bertindak sebagai pelaksana hukuman itu kerana ia bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata tindakan merotan pesalah tidak wajar dilakukan seorang hakim kerana beliau tidak boleh memainkan dua peranan sekali gus, iaitu sebagai hakim dan penghukum.

"Tambahan pula, beliau (hakim) tidak dilatih untuk menyebat atau merotan pesalah. Kita ada pegawai untuk melaksanakan hukuman seumpama itu, jadi tidak ada keperluan bagi hakim menjadi penghukum.

"Walaupun (Seksyen 293(1)(c)) Kanun Acara Jenayah memperuntukkan hukuman merotan dalam mahkamah, tidak wajar hakim sendiri melakukannya. Apa akan jadi kalau ada hakim yang mahu melaksanakan hukuman lain di mahkamah.

"Majlis Peguam berpendapat ini satu pencabulan serius terhadap proses perundangan kerana hakim cuba mengambil alih tugas melaksanakan hukuman," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamarudin, kelmarin yang memutuskan seorang pemuda berusia 20 tahun dikenakan 10 sebatan di premis mahkamah pada 15 Julai ini kerana kesalahan merompak dengan beliau sendiri melaksanakan hukuman itu, sambil disaksikan ibu bapa pesalah.

Dalam keputusan yang jarang dibuat itu, Zainal Abidin berkata hukuman sebat menggunakan 10 rotan halus yang disediakan mahkamah akan dilaksanakan terhadap Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20, seperti diperuntukkan Seksyen 293 (1) (c) Kanun Acara Jenayah.

Ragunath berkata, isu sama pernah timbul kira-kira 30 tahun lalu tetapi ketika itu Mahkamah Persekutuan memutuskan seorang hakim tidak boleh mengadili sesuatu kes, membuat keputusan dan melaksanakan sendiri hukuman berkenaan.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Ismail, berkata hukuman sedemikian pernah dijatuhkan sebelum ini, tetapi membabitkan kesalahan mengikut Akta Juvana.

"Memang ada peruntukan mengikut Akta Juvana yang membenarkan hakim berbuat demikian... kes seperti ini pernah berlaku tetapi tidak mendapat publisiti.

"Bagaimanapun, rotan di penjara dan rotan disediakan mahkamah adalah berbeza," katanya ketika dihubungi semalam.

Peguam veteran, Karpal Singh, berkata walaupun Seksyen 288(4) Kanun Acara Jenayah tidak menyebut secara khusus siapa yang harus melaksanakan sebatan itu, ia tidak bermakna hakim boleh melakukannya.

"Tindakan membenarkan hakim menjatuhkan hukuman dan melaksanakan hukuman itu sendiri adalah pencabulan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif dan badan kehakiman. Ini mencemari institusi kehakiman yang sepatutnya bertindak saksama.

"Menyebat adalah tugas eksekutif, biarkan pegawai lain di mahkamah melakukannya. Saya harap Ketua Hakim Negara akan campur tangan dan hentikan pelaksanaan keputusan ini.

"Kita akan wujudkan amalan yang amat berbahaya jika hukuman itu dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berpendapat keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu sebagai pembaharuan dalam sistem kehakiman negara yang mampu menjadi teladan menghindari golongan muda terjebak dengan jenayah.

"Saya berpendapat ia adalah satu tindakan yang wajar kerana ia bergantung kepada budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman, selagi termaktub dalam udang-undang," katanya.

Penganalisis jenayah, Dr Kamal Affendi, berkata tindakan Hakim Zainal Abidin harus dipuji dan wajar diteruskan kerana ia mampu memberi kesan besar dalam menangani jenayah.

Sumber :http://www.bharian.com.my

1 comment:

  1. Kalau dah lemak sangat elok dirotan ajer...kalau tak naik kepala bebudak nie..

    ReplyDelete