02 June, 2009

Peguam ditegur

KUALA LUMPUR: “Saya terpaksa tangguh kes ini dua kali, bukan disebabkan mahkamah, tetapi pihak peguam sendiri!,” tegur Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaharah Ibrahim terhadap seorang tertuduh yang didakwa membunuh seorang setiausaha eksekutif, empat tahun lalu.

Semalam, ditetapkan untuk hujah di akhir pendakwaan bagi kes itu, bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan berikutan kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh, Mokhtar Mohd Zin, 47, tidak dapat hadir.

Mahkamah menetapkan Khamis ini untuk hujahan. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Surjan Singh dan Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir.

Mokhtar Mohd Zin didakwa membunuh Siti Shamiza Abu Zarin, 30, di tempat letak kereta Pasar Raya Giants, Batu Caves, Gombak, pada jam 1.45 tengah hari, 19 Mac 2005.

Bagi perbuatan itu, Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 19 saksi memberi keterangan.

Akhbar sebelum ini melaporkan Siti Shamiza bergelut dengan suspek yang didakwa cuba merampas Proton Waja miliknya sebelum dikatakan ditembak di dada kanan.

Tertuduh kemudian didakwa keluar dari kawasan letak kereta dan cuba merampas sebuah Proton Wira di hadapan pos pengawal pasar raya berkenaan.

Bagaimanapun, pemiliknya enggan menyerahkan keretanya menyebabkan suspek itu berang lalu didakwa melepaskan tembakan yang mengenai leher pemilik kereta berkenaan, Ong Wooi Chong, 34.

Sumber : http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment