16 June, 2009

Syor mahkamah khas kes kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan mahkamah khas kanak-kanak di premis berbeza daripada mahkamah biasa di bawah jagaan Majistret terlatih khususnya aspek perundangan hak kanak-kanak dan berpengetahuan mengenai piawaian antarabangsa keadilan juvana.

Selain itu, kerajaan disyorkan membina pusat tahanan khusus untuk menahan pesalah juvana yang dilengkapi kemudahan bersesuaian dengan umur dan pembesaran mereka.

Ia antara saranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi meningkatkan keadilan juvana dalam Laporan Tahunan Suhakam 2008.

Kerajaan mesti menginstitusikan hukuman alternatif bagi mengganti hukuman pesalah juvana terutama bagi kesalahan kecil kerana penahanan di pusat tahanan tidak lagi boleh diguna pakai.

Kerajaan perlu menghalang juvana daripada terbabit dengan jenayah dengan memperkenalkan mekanisme pencegahan awal.

Kajian situasi yang mendalam perlu bagi mendapatkan gambaran sebenar faktor yang menyumbang kelakuan antisosial di kalangan kanak-kanak.

Suhakam mengesyorkan mahkamah mempunyai tanggungjawab lebih sensitif terhadap kanak-kanak bermasalah dengan undang-undang dan terhadap mangsa serta saksi kanak-kanak.

Bagi memastikan keadilan, penting bagi sistem mahkamah menyesuaikan proses mahkamah mengikut tahap kematangan kanak-kanak dan keperluan khas lain seperti latar belakang mereka.

Laporan itu juga menyatakan sistem keadilan mesti mesra kanak-kanak dan mampu mengurangkan trauma selain diiringi orang dewasa yang sesuai sepanjang proses mahkamah.

Latihan khas bagi mengendalikan kanak-kanak dalam sistem keadilan harus disediakan untuk Majistret yang mengendalikan kes kanak-kanak. Latihan juga harus disediakan kepada mereka yang terbabit secara langsung dengan pesalah juvana seperti polis, pekerja sosial dan sukarelawan.

Kelewatan dan penahanan reman yang lama mestilah diselesaikan secepat mungkin. Mahkamah mesti proaktif membuat pembaharuan dan tidak perlu menunggu Parlimen menggubal undang-undang untuk kanak-kanak.

Syor penambahbaikan keadilan juvana juga membabitkan peranan masyarakat yang antara lain meminta kerjasama badan bukan kerajaan bagi memastikan pesalah juvana diberi peluang memulihkan diri dan memainkan peranan membina dalam masyarakat.

Selain itu, kekurangan pekerja terutama pegawai runding cara di Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh mendatangkan kesan.

Bagi mengatasinya Akta Kanak-Kanak perlu dipinda bagi membolehkan sukarelawan terutama pemimpin masyarakat dilantik sebagai pegawai runding cara.

sumber: http://www.bharian.com.my

1 comment:

  1. sebenarnya bagus jugak diwujudkan mahkamah kanak-kanak nie cuma janganlah ianya sekadar idea sahaja

    ReplyDelete