22 July, 2009

'Hakim perlu berintegriti, tak memihak'

IPOH: Selagi kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang, telus dan terbuka, tiada mahkamah boleh menyalahkan kerajaan, melainkan ada hakim yang hilang integriti, memilih berpolitik atau bersimpati dengan kumpulan atau pemikiran politik, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah, ujian utama dan paling berat bagi hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama dari segi emosi dan kecenderungan.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan peranan badan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu di-pertahankan.

"Hakim mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah dan jika mereka gagal memenuhi amanah itu, akan berlakulah ketidakseimbangan.

"Kesetiaan hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang dan dalam memenuhi tanggungjawab itu, hakim terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme pada peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dibuat," titah baginda merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam ucapan baginda, Sultan Perak juga menegaskan pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan sentimental bangsa, tetapi Raja turut mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang dalam memperkukuhkan institusi demokrasi.

"Selaku ketua negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan.

"Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa," titah Raja Azlan.

Baginda bertitah, peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.

"Oleh itu, Raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan berlandaskan undang-undang. Namun, Beta pernah mengingatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan. Bezanya, satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan.

"Tetapi, adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan. Peranan sebenar Raja Pemerintah jauh mengatasi apa yang tersurat dalam perlembagaan," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, Profesor Vernon Bogdanor dalam bukunya bertajuk The Monarchy and the Constitution menghuraikan Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak iaitu hak menyampaikan nasihat dan pandangan, hak memberi galakan dan dorongan serta hak memberi peringatan dan teguran.

Sehubungan itu, titah baginda, Raja Pemerintah tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak itu berjaya dikendalikan secara bijaksana dan berhemah.

sumber: http://www.bharian.com.my

1 comment:

  1. " RAJA ADIL RAJA DISEMBAH..RAJA ZALIM RAJA GOPAL !!! "
    MUA..HA..HA.. !!!

    ReplyDelete