13 October, 2009

Curi kereta: Guna Ordinan Darurat

PUTRAJAYA 12 Okt. – Mahkamah persekutuan hari ini memutuskan bahawa seseorang yang mempunyai kaitan dengan sindiket menyeludup kereta curi ke luar negara boleh ditahan mengikut Ordinan Darurat (Memelihara Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah).

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Gopal Sri Ram berkata, ini kerana orang berkenaan mengancam ketenteraman awam.

Dalam penghakiman 12 halaman, hakim itu berkata, adalah jelas kegiatan penyeludupan yang dilakukan oleh sesebuah sindiket, berpotensi mengganggu kesejahteraan awam kerana ia membuka peluang pasaran kepada pencuri dan bakal pencuri melupuskan kereta curi.

Hakim Sri Ram bersidang bersama panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi. Salinan penghakiman berkenaan yang diumumkan Jumaat lalu diedar kepada media hari ini.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Mereka menolak rayuan Darma Suria Risman Saleh yang ditahan selama dua tahun di Pusat Tahanan Simpang Renggam mengikut Ordinan Darurat 1969.

Darma Suria merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak writ habeas corpusnya supaya dia dibebaskan dari pusat tahanan itu.

Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan perintah agar Darma Suria ditahan selama dua tahun kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan menyeludup kereta curi bagi tujuan eksport.

Dia ditangkap pada 2 April tahun lepas.

2 comments:

  1. betul. sy sokong keputusan Mah Persekutuan tu. Utk maslahat umum. ^_^

    ReplyDelete
  2. Setidaknya Hakim Ram lebih arif daripada Augustine Paul macam kuda kepang!

    ReplyDelete