13 October, 2009

SPRM tahan majistret disyaki terima RM3,000

KOTA BHARU: Seorang majistret di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima sogokan RM3,000 sebagai ganjaran menjatuhkan hukuman lebih ringan ke atas seorang pesalah kes dadah.

Majistret berusia 27 tahun itu yang bertugas di dua jajahan di negeri ini, ditahan sepasukan SPRM Kelantan diketuai Penguasa Mohamad Khairul Mohamad, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin di sebuah stesen minyak di Machang.

SPRM turut merampas telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi milik majistret berkenaan untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam dan dikenakan tahanan reman dua hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya SPRM dari Putrajaya, Mohd Asnawi Abu Hanifah, memohon tempoh tahanan reman selama lima hari. Permohonan itu dikemukakan di hadapan Majistret Azrul Abdullah, manakala suspek diwakili peguam, Datuk Shukri Mohamed.

Sementara itu, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dalam satu kenyataan, berkata wang rasuah RM3,000 itu adalah sebahagian daripada RM5,000 yang diminta suspek sebagai ganjaran untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan ke atas seorang pesalah kes Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Sumber: Berita Harian Online.

1 comment:

  1. kalu sprm terima suapan sapa plak nk tahan depa..!?

    ReplyDelete