24 November, 2009

Rang Undang-Undang GST akan dibentang untuk bacaan pertama: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata rang undang-undang berkaitan cadangan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada akhir persidangan Dewan Rakyat sekarang.

Perdana Menteri berkata langkah itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet lalu.

"Ia akan membolehkan orang ramai memberi ulasan, melibatkan mereka, dan jika kami dapati ia perlu diperhalusi, kami akan lakukannya," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya ke New York, hari ini.


Najib yang juga Menteri Kewangan, bertemu media selepas menghadiri beberapa mesyuarat dan pertemuan dengan para pelabur Amerika serta pengurus dana selain tokoh korporat terkemuka.

Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan GST di Malaysia, ia akan dilakukan secara "berhati-hati".

"Ia tidak akan diperkenalkan secara tergesa-gesa," katanya yang menambah, jika GST menjadi kenyataan, kadarnya tidak akan membebankan golongan miskin dan kelas pertengahan Malaysia.

"Dan, ia tidak akan menyebabkan inflasi," katanya.

GST dicadangkan bagi menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada.

Perdana Menteri berkata Malaysia adalah antara beberapa negara di rantau Asia Tenggara yang belum melaksanakan GST.

"Pada asasnya, seluruh dunia sudah melaksanakan GST," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2010 pada Oktober, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan langlah tegas bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan memperakui kutipan hasil yang mencukupi sangat penting untuk menyokong perbelanjaan yang semakin tinggi selain mengurangkan hutang negara yang meningkat.

1 comment: