07 July, 2010

Bekas kakitangan mahkamah, penghantar surat dipenjara sehari

SHAH ALAM 6 Julai - Seorang bekas pembantu am rendah Mahkamah Sesyen Klang dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima RM2,700 sebagai upah untuk mengeluarkan dua buah fail dari Mahkamah Majistret Klang, dua tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan Mohd. Ariffin Saharudin, 39, dipenjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Sementara penghantar surat, Harvind Singh, 36, turut dipenjara sehari dan denda RM8,000 atau penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menerima wang tunai RM3,000 bagi tujuan yang sama.

Mat Ghani semasa menjatuhkan hukuman itu berkata, walaupun ia melibatkan jumlah wang suapan yang berbeza, namun kejadian itu melibatkan transaksi yang sama selain kedua-dua tertuduh tidak mendapat sebarang manfaat daripada wang tersebut.

Mohd. Ariffin menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM2,700 daripada Harvind sebagai balasan untuk mengeluarkan dua fail dari Mahkamah Majistret Klang di hadapan CIMB Bank, Jalan Tengku Kelana, Klang dekat sini pada pukul 4.45 petang, 19 Mac 2008.

Sementara Harvind turut mengaku menerima RM3,000 daripada Reynolds De Silva di tempat yang sama sebagai dorongan untuk Mohd. Ariffin mengeluarkan dua fail kes saman milik syarikat rakan lelaki itu pada pukul 4.30 petang hari yang sama.

Mohd. Ariffin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara Harvind pula dituduh mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mereka sebelum ini dibicara mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi kesalahan menerima suapan RM2,700 dan RM3,000 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim.

sumber: Utusan Malaysia Online

2 comments:

  1. Assalamualaikum Cik Siti,
    Terlebih dahulu tahniah kerana dah berada di JPN tempat hebat di Putrajaya. Semoga Cik Siti bakal berjaya dengan cemerlang di JPN.
    Akhir sekali nak tanya bagaimana dengan Reynolds De Silva (pemberi rasuah) ?

    ReplyDelete
  2. Pelik, budak suruhan sekadar pembantu am rendah & despatch je yg kena denda. Naper tukang nyuruh tak didakwa sekali??? Kalo takder si tukang suruh nih takkan ader ler yg tukang amik. TOTALLY BIAS!!!

    ReplyDelete